Friday, May 14, 2010

SUKA DUKA DAN PERISTIWA MENAKUTKAN DI SIBU SEMALAM

Ini adalah kali pertama saya memijak kaki di bumi Sibu. Sebelum ini saya hanya pernah ke Kuching dan Miri sahaja. Pada pengamatan saya bandar Sibu sama seperti Pulau Pinang. Dari segi bangunan-bangunan, suasana , jalan raya dan beberapa perkara lagi. Yang berbeza tiada nasi kandar.

Pagi semalam saya ke Pasar Central Sibu untuk melihat PM turun padang berjumpa dengan rakyat Sibu. Suasananya sungguh meriah sekali dan diluar jangkaan sehingga tiada ruang untuk saya merakamkan gambar. Hanya dapat satu gambar sahaja. Kiri kanan, belakang depan semuanya melaung-laungkan 1 Malaysia.

Berpusing-pusing leher Datuk Seri Najib hendak menoleh. Pusing kiri, kanan pula panggil laung 1 Malaysia, pusing kanan depan pula laung 1 Malaysia. Begitulah hebatnya penangan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh DS Najib. Ini yang membuatkan Anwar takut sangat dengan 1 Malaysia.
Selesai program di pasar, saya menuju ke jeti bot penumpang yang terletak bersebelahan pasar. Semasa sedang berjalan-jalan disana, tiba-tiba terdengar laungan “rbf, rbf”. Lihat depan ada seorang yang saya tak kenali sedang melambai-lambai memanggil saya. Setelah menghampirinya dan bersalam, beliau mengajak saya mengikuti rombongannya melawat rumah panjang.

Pada mulanya saya agak bimbang juga untuk mengikutnya, kerana saya tidak mengenali orang yang mengajaknya. Tetapi setelah diberitahu yang rombongan tersebut adalah rombongan yang diketuai oleh Datuk Seri Shahidan Kasim maka kebimbangan saya hilang dan saya mengikut rombongan mereka .Tiga buah bot laju digunakan.

Perjalanan bermula jam 11 pagi. Kami menuju ke Sungai Banyok di Batang Igan. Semasa dalam bot fikiran saya tidak ingat benda lain, hanya satu sahaja ‘bujang senang’. Itulah benda yang menghantui fikiran saya sebaik sahaja melangkah kaki memasuki bot.

Perjalanannya sungguh menyeronokan tetapi ada masanya terganggu oleh kayu-kayu hanyut yang agak banyak di dalam sungai. Ada masanya juga bot melambung-lambung apabila ada bot atau kapal lain lalu disebelah.
Banyak kampung-kampung yang boleh dilihat sepanjang perjalanan. Apa yang boleh saya katakan ialah, Sarawak sangat besar, manakala penduduknya tidak padat. Itulah yang menyukarkan proses pembangunan di kawasan-kawasan pendalaman. Sebagai contohnya ialah parlimen Sibu,keluasannya lebih kurang negeri Selangor, tetapi jumlah pengundi hanya 65 ribu lebih sahaja.

Tetapi walaupun sukar bagaimana sekali pun saya dapat melihat sendiri pembangunan tetap sampai ke kawasan pendalaman. Banyak sekolah-sekolah yang boleh dilihat sepanjang perjalanan. Malah ada sekolah dan kuaters guru yang cantik-cantik seperti di bandar-bandar besar.

Sebab itulah saya tidak hairan bila melihat kampung-kampung yang kami lalui semuanya mengibarkan bendera BN. Jika ada pun bendera DAP pun hanya satu dua sahaja.Boleh dikatakan 99.99% di kawasan pendalaman dikuasai oleh BN.

Di kawasan bandar saya tidak nafikan sokongan kepada BN agak kurang. Bukan perkara senang bagi DAP,PKR dan PAS untuk bertapak di Sarawak. Di kawasan Bandar mungkin mereka boleh, tetapi di kawasan luar bandar amat sukar bagi mereka.
Rombongan kami sampai ke tempat yang dituju jam 12.50 tengahari. Kami disambut meriah oleh Tuai Rumah dan anak-anak ‘kariah’ nya. Kami dibawa ke atas rumah panjang dan Tuai Rumah meyampaikan ucapan ringkas serta sedikit jamuan. Selepas itu bersembahyang zohor dan jamak qasar yang diimamkan oleh DS Shahidan.

Yang seronoknya, bila DS Shahidan menyatakan niat nak sembahyang zohor, tuan rumahnya orang iban yang beragama kristian, tetapi mereka seolah-olah faham tentang islam. Mereka boleh beri selipar untuk pergi berwudhu padahal dalam rumah mereka kelihatan bersih. Selepas itu mereka bentangkan tikar baru sebagai sejadah. Itu semua tidak perlu kita minta. Mereka tahu dengan sendirinya. Ini betul-betul 1 Malaysia. Yang lain-lain nanti saya ceritakan kemudian.
Jam 2.30 kami bertolak balik dan singgah di rumah panjang Sungai Pinang. Sebaik bot kami tiba di jeti, bot yang dinaiki rombongan DAP berlepas. Bila kami naik sahaja ke rumah panjang berkenaan kami melihat penghuni-penghuninya sedang sibuk memasang poster dan bendera DAP. Tercengang DS Shahidan melihatnya.

Lalu beliau meminta Tuai Rumah memanggil memanggil semua penghuni berkumpul kerana beliau ingin mengetahui masalah mereka. Rupa-rupanya mereka tiada masalah dengan kerajaan Cuma mereka diberi RM 50 setiap pintu rumah, poster dan bendera. Mereka diminta memasang poster dan bendera di setiap pintu rumah, jeti dan diminta mengundi DAP. DAP juga berjanji akan membina jalanraya menghubungkan rumah panjang berkenaan dengan pekan terdekat sejauh lebih kurang 80 km. Baikkkk punya janji.

Apa lagi, DS Shahidan terus berceramah kepada mereka, siapa DAP dan siapa BN. Tak sampai 10 minit habis bendera dan poster DAP dibuang oleh mereka dan dicampak ke sungai. Selepas itu mereka semua tidak putus-putus duduk melaung 1 Malaysia sampailah ke jeti dan sampai bot kami berlepas pun masih lagi duduk laung 1 Malaysia. Difahamkan hari ini DS Shahidan akan kembali ke tempat ini untuk memantau.

Perjalanan diteruskan ke Rasau. Bot yang saya naik tiba terlebih dahulu di jeti Rasau manakala bot DS Shahidan masih belum sampai. Sebaik sahaja saya melangkah naik ke jeti saya terus disapa oleh seorang penduduk. Mereka bertanya hendak ke mana. Saya kata hendak jumpa Tuai Rumah.

“Kamu PKR ke” tanya orang berkenaan dalam loghat iban pekat. Saya kata tak. Dia masih tidak percaya dan minta saya turun balik balik ke dalam bot. Lalu saya menerangkan siapa saya dan rombongan siapa yang saya ikuti mereka masih tidak percaya. Saya sudah mula takut, makin lama makin ramai yang datang menghampiri saya. Walaupun saya menunjukan lencana 1 Malaysia di beg saya mereka masih tidak percaya. Katanya ramai orang semenanjung yang menyamar. Apek yang pandu bot saya pun cuba menerangkan, mereka masih tidak percaya dan meminta saya turun balik ke dalam bot.

Untuk meredakan keadaan dan saya juga bertambah takut kerana lebih kurang 50 orang mengerumuni saya, lalu saya turun balik ke dalam bot. Nasib menyebelahi saya, apabila saya turun ke dalam bot, dari jauh saya nampak bot yang dinaiki DS Shahidan sudah mula nampak kelibatnya.

Setelah DS Shahidan naik ke jeti barulah mereka percaya kepada saya dan berkali-kali meminta maaf dengan saya. Barulah saya rasa lega. Rupa-rupanya mereka amat benci dengan orang-orang PKR. Bagaimana PKR nak memerintah Sarawak kalau begini caranya ? Lupakan sahaja.

Jam sudah 6.15 petang, hari sudah gelap. DS Shahidan berhajat hendak singgah sekejap sahaja tetapi terpaksa jadi lama pula kerana ada orang meninggal dunia. Hari sudah gelap, pemandu bot meminta kami bermalam disana kerana katanya bahaya meneruskan perjalanan di waktu malam.

Tetapi DS Shahidan tetap nak balik ke Sibu juga kerana beliau ada program di sana pada sebelah malam. Apek bot sudah pening kepala. Mereka terus memasang spotlight di bahagian depan bot. Perjalanan pulang yang sungguh mencabar dan amat menakutkan saya.

Gelap, sungai yang besar, saya tidak pandai berenang, perjalanan melawan arus dan banyak kayu hanyut. Ditambah pula dengan sungai tersebut yang terkenal dengan buaya ganas. Apek bot terpaksa memandu sambil berdiri , kepalanya berjulur keluar ikut sunroof botnya. Ini untuk memudahkan penglihatannya. Kayu hanyut cukup-cukup banyak.

Talian telefon pula tiada liputan pada waktu itu. Sungguh mendebarkan.Tak tahu sudah berapa kali ulang saya membaca Surah Yassin diiringi bermacam-macam doa. Sebaik sahaja mendapat liputan talian telefon terus saya sms kepada isteri minta dia mendoakan keselamatan saya dan juga minta dia sampaikan pada ibu saya agar mendoakan saya selamat.

Tiba-tiba bunyi satu dentuman yang kuat dan bunyi seperti benda pecah. Bot bertembung dengan kayu hanyut yang saya yakin cukup besar kerana dentumannya kuat. Pada masa itu kalau ada orang toreh saya dengan pisau saya rasa sudah tidak keluar darah. Takutnya tidak terkata,sampai air liur dalam mulut pun kering. Apek tersebut selamba saja matikan bot dan angkat enjinnya, manakala bot berpusing mengikut arus. Setelah diperiksa sebilah kipasnya patah.

Apek tersebut meneruskan perjalanan tetapi bot rasa bergetar. Setelah 30 minit kami bertembung dengan kapal sedang mengorek pasir. Apek tersebut berhenti disana dan pasang tali ikat bot, angkat enjin naik dan tukar kipas. Nasib baik dia ada kipas simpanan.

Bot yang dinaiki DS Shahidan telah berada di depan dan mereka hendak berpatah balik, tetapi apek berkenaan kata tidak perlu dan dia boleh uruskan. Mereka tunggu di depan. Lebih kurang 30 minit segalanya selesai dan perjalanan diteruskan.

Perjalanan diteruskan perlahan-lahan kerana kayu amat-amat banyak. Sekejap-sekejap apek lari kiri kanan dan brek kecemasan untuk megelakkan kayu hanyut. Akhirnya sampai di kawasan Rantau Panjang. Lampu-lampu dari rumah orang kampung dan kilang-kilang kayu di tepi sungai sudah mula kelihatan. Barulah rasa lega.

Tapi lega tak lama, selepas 5 minit tiba-tiba apek tersebut bercakap pasal buaya dengan saya. Katanya pernah pada satu malam dia jumpa buaya sebesar kereta waja di bahagian tepi sungai berkenaan. Cabul sungguh mulut apek itu. Saya baru nak hilang perasaan takut, dia sebut pasal buaya pula.Mana tak bimbangnya , jika buaya sebesar kereta waja libas bot tersebut sudah tentu terbalik bot tersebut.

Kebimbangan saya mula surut bila cahaya-cahaya dari bangunan-bangunan tinggi di Sibu sudah mula kelihatan. Akhirnya saya selamat tiba di jeti Sibu jam 10.30 malam setelah hampir 4 jam menempuh perjalanan yang begitu mencabar. Jika di waktu siang perjalanan dari Rasau ke Sibu hanya mengambil masa 1 jam.

Syukur kepada Allah kerana tuan punya blog RBF masih lagi boleh menulis blognya pada hari ini. Apa pun ini adalah satu pengalaman yang cukup berharga dan menakutkan buat saya. Terima kasih kepada isteriku yang mendoakan keselamatan abang. Tidak lupa juga kepada ibuku.

Hari ini rombongan DS Shahidan mengajak saya pergi lagi ke rumah panjang yang tidak sempat disinggah semalam. Tetapi saya sudah angkat tangan tanda menyerah. Kaki saya sudah melecet dan lutut saya sakit. Semuanya kerana kesilapan kasut yang saya pakai. Untuk ke tempat-tempat begitu sepatutnya perlu pakai kasut kain atau berkaki ayam.

Apa pun saya tabik kepada DS Shahidan. Dia boleh berjalan kaki satu jam untuk pergi dan balik ke satu kawasan yang hanya ada 13 pengundi. Staminanya cukup kuat. Saya akan tulis lain kali pengalaman berkempen dengannya.

Setelah saya melihat sendiri,naluri saya merasakan BN akan menang dalam PRK Sibu ini. Jentera DAP hanya banyak tertumpu di kawasan bandar. Mereka tidak sanggup untuk redah hutan belukar. Jika sebelum menjadi kerajaan mereka sudah tidak sanggup, apabila sudah jadi wakil rakyat kelak lagilah mereka tidak nampak batang hidung. Manakala jentera PAS pula sibuk dengan kempen mencari ahli baru PAS untuk membolehkan mereka menubuhkan PAS kawasan Sibu.

Saya juga cukup respek kepada BN Sarawak. Mereka memang bekerja. Saya difahamkan di ceruk mana sekalipun dalam bumi Sarawak, BN tetapi sampai ke kawasan berkenaan. Soal pembangunan kawasan berkenaan perkara kedua. Yang penting pemimpin sampai. Bila bercakap soal pembangunan kawasan pendalaman di Sarawak , saya nampak ianya bukan perkara yang senang. Saya rasa 50 tahun lagi pun tidak akan selesai semuanya. Setakat bercakap memang senang.

Jumpa lagi

RBF
Sibu.

11 comments:

amieiezam said...

terlebih dahulu tahniah...itulah perjuangan.

nampaknya kali ini keberanian rbf benar2 diuji...dan adakalanya nampak benor yop miker tuh takut. Teman pastinya sama dengan miker kerana bot dan air memang mengayatkan teman...nampaknya BATANG@sungei di sibu menggoncang semangat saudara tak sama dengan perjuangan baju pngantin artis suatu masa yg lalu....

tahniah RBF...anda pejuang...
TAHNIAH DATO SERI SHAHIDAN KASSIM

life is not a fairy tale dude said...

Semangat juang pembloger yang kini berada di Sibu patut dicontohi semua ahli UMNO.

take care of your own communist party

Anonymous said...

posting yang menarik, teruskan menulis RBF :P

Anonymous said...

Wahaha...bro nasib baik x jumpa ngan bujang senang!!!, tapi klau buaya2 kt sana dapat lu...alamat makan x habis beb!!!rezeki besar he...he...he...

||Aku Pemikir|| said...

dude,

mantap giler pengalaman,

FYI, mmg dato stamina kuat beb, dia selalu panjat gunung!! hahaha..

kitrg ni ha yang x larat nak bawak beliau g jenjalan..

tapi dato mmg best, seronok kuar ngan dia, peramah pun ye gak..

papepon semoga pengalaman 'jumpa' buaya tuh kekal dalam ingatan..hahahaha

p/s: kalo jumpa dato lagi, kirim salam hafidz dari bandung.. :)

Anonymous said...

politik dan msykt swk mmg tak sama dgn semenanjung. sbg anak jati srwk, sy nampak ini. agresif, kutuk mengutuk dan takde budi bhasa dlm berceramah bukan mainan rakyat swk, mrk msh lagi sgt2 mementingkan adat dan budaya. sbb tu salah besar sbnrnya membwa budaya kutuk mengutuk dan agresif ke swk dlm pilihanraya sibu. mmg mrk akan dtg, tapi dlm hati mrk takde respect, terutama sekali golongan2 tua dan dewasa. kprcyn mrk sgt tinggi kpd pemerintah.cabaran BN di swk ialah utk membuat generasi muda mrk turut respect BN dan dasar pembangunan mrk.

ruang bicara faisal said...

masa bot terlanggar kayu saya hanya mampu berdoa

Ya Allah selamatkanlah hamba mu ini. Ya Allah anak2 ku masih kecil. Kesihanilah mereka Ya Allah.

Pada masa itu saya bimbang takut bot pecah dan karam. Tetapi Alhamdulillah

Anonymous said...

caya kat lu bebb. wa pernah pegi kucing dan miri. tapi sibu tak pernah. mmg betul org sana kuat berpegang pada adat resam.

pkr, anwar dan dap cuma mampu bermimpi.

joe

leman said...

Masalahnya kaum cina sokong dap dan diorang adalah majoriti di sibu.Puak2 cina chauvinist dap dr semenanjung datang ke sarawak membawa budaya benci-membenci dan perkauman serta anti Melayu.Ini sgt menyedihkan..

Anonymous said...

RBF,

Aku dulu duduk lama kat Kuching, lebih 10 tahun.

Kalau kat Kuching, aku lihat untuk parlimen orang Cina akan pilih DAP dan untuk ADUN mereka akan pilih BN. Mereka dah lama mengundi secara strategik. Tapi kat Sibu, aku heran pulak kenapa BN boleh menang.Aku rasa faktor calon atau sebab orang Foochow (tertumpu kat Sibu sahaja, Orang Foochow ini clannish macam orang Kelantan dan kalau berniaga mereka akan bantu satu sama lain.

Kat Sarawak konsep 1Malaysia ini dah lama dilaksanakan. Kalau kau pergi Kuching ataupun Sibu, masuk restoran Cina , orang Melayu akan duduk semeja dengan orang Cina, orang Melayu makan mee kolok dan orang Cina makan bah kut teh .Tak da masalah kat sini.

Kalau waktu Tahun Baru Cina, orang Melayu akan melawat orang Cina dan orang Cina akan menghidangkan makanan halal. Inilah kebiasaannya.Kat Semenanjung benda macam ni amat jarang sekali berlaku.

Kalau dah sampai kat Sibu jangan lupa cari buah dabai (dabei panggilan Sarawak) dan juga gambir Sarawak. Orang Semenanjung (orang Malaya ikut panggilan orang Sarawak) kalau sampai kat Sarawak akan cari benda ni..Bila tanya kat toke Cina yang jual gambir Sarawak apa khasiatnya? Dia jawab.. bagus untuk gusti.. he .he.. Cubalah..gerenti puas hati

Chairman Kaga said...

AWAS SI BUAYA!