Sunday, September 1, 2013

Ulasan:Buta-Buta Sahaja Anwar Kena Main Dengan Khalid Ibrahim dan Faekah Husin


Fasa kedua isu mengapa PKR secara rasminya mahu meletakkan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Ketua Staf di Pejabat Menteri Besar Selangor dikatakan sudah bermula. 

Seperti yang dapat diperhatikan memang menjadi bunga silat politik Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa beliau tidak akan menolak dan menyanggah arahan sesiapa sahaja yang menjadi ketuanya, termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun ini tidak bererti beliau akan laksanakan semua butir arahan tanpa menunjukkan protesnya secara senyap. Dalam kes ini beberapa pemimpin parti PKR Selangor mahu perubahan dilakukan dalam struktur organisasi pejabat Menteri Besar.

Asas tuntutan mereka pendamping Khalid adalah terdiri daripada wanita-wanita yang bukan sahaja tiada 'locus standi' atau hak dalam PKR malah bertindak bersilang dengan aspirasi parti. Pusar ketidakpuasan hati mereka ialah Setiausaha Politik, Faekah Husin. 

Lantas secara rasminya pada Kongres PKR Mei lalu, Anwar dengan yakin melepaskan ayam tambatannya, Saifuddin Nasution, untuk menjadi pegawai perhubungan politik Khalid dan parti. Khalid tidak sedikitpun membantah. 

Khalid protes dalam senyap 

Apa yang berlaku selepas itu ialah sepi. Seperti lazimnya, jika ia tidak berapa selesa dengan arahan parti, Khalid akan melengah-lengahkan pelaksanaannya. Namun apabila melihat Anwar dan PKR cukup tegas kali ini, hanya pada 22 Julai lalu Saifuddin dipanggil ke pejabat Menteri Besar untuk dinobatkan sebagai Ketua Staf pejabat Khalid.

Seperti lazimnya juga, Khalid tidak memperinci bidang kuasa Saifuddin. Soal adakah sempadan kuasa Saifuddin melangkaui pengaruh Faekah dipendamkan dahulu. Kesannya dapat dilihat apabila Saifuddin tidak masuk pejabat sejak pengumuman 22 Julai. 

Apabila media melaporkan hakikat berkenaan, sumber pejabat Menteri Besar sama ada secara sengaja atau tidak membisikkan bahawa Faekah akan meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik minggu depan kerana beliau akan diberi jawatan lebih besar sebagai Pengurus Besar Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI.

Langkah Khalid ini agak menggetarkan barisan kepimpinan PKR. Mengeluarkan Faekah daripada pejabat Menteri Besar rupanya tidak bererti hasrat PKR tercapai. Faekah akan mengurus sejumlah dana yang amat besar dan dengan restu Khalid boleh mengagihkannya untuk mana-mana projek yang ditanda di bawah program Selangorku.

Sebelum ini RM300 juta dikatakan dikumpulkan daripada laba anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk menjana pelbagai projek pembangunan sosial rakyat Selangor. Secara mutlak segala perbelanjaan yang dikeluarkan daripada dana berkenaan adalah hak menteri besar. Tiada prosedur audit diperlukan. 

Kuasa Faekah makin besar, selia dana berjuta-juta

Kini Faekah adalah Pengurus Besar MBI. Ini juga memberi gambaran beliau juga akan boleh campurtangan (jika tidak diberikan mandat sepenuhnya sekalipun) mengurus soal pengagihan dana. 

Asas ketidakselesaan PKR terhadap Faekah ialah banyak program yang merakyat anjuran parti tidak mendapat sokongan kerajaan negeri di segi kewangannya. Ini kerana penyaringan bantuan dikatakan dilakukan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar. 

Kali ini PKR dan Anwar tidak boleh merungut bahawa Khalid tidak memberi kuasa penuh kepada wakil mereka, Saifuddin Nasution untuk mengurus hubungan politik pejabat Menteri Besar dengan parti. Faekah tiada lagi dan Saifuddin berkuasa penuh. 

Kegunaan Saifuddin nampaknya ialah memastikan pejabat Menteri Besar berjalan lebih baik. Itu sahaja. Segala keperluan kewangan untuk kerja-kerja sosial dan politik yang memerlukan sokongan kewangan harus datang daripada dana Selangorku. Di situ ada Faekah. 

Agak menarik diperhatikan betapa cekap Khalid dalam soal pengurusan dan mengimbangi kuasa dan pengaruh mereka yang bekerja dengannya. Yang lebih diperlukan Khalid ialah Faekah kerana beliau boleh mengurangkan rimas yang dialaminya apabila berurusan dengan parti. 

Melalui formula ini, ketegasan Anwar dan PKR mahu Faekah dikeluarkan dari pejabat politik Khalid sudah berlaku. Bagaimanapun Khalid kini meletakkan Faekah di pejabat kewangannya bernama MBI. Sayugia diingat bahawa sumbangan tabung MBI ini terlalu banyak dan pelbagai. Antaranya ialah menaja pasukan bolasepak Selangor. 

Anwar longgar dari segi pengurusan

Sebagai ketua politik Anwar memang digeruni oleh kawan dan lawan. Di segi pidato Anwar memang tersohor dan kelebihan ini selalu dijadikan modal untuk mempersenda saingannya seperti presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dengan beberapa kali mencabarnya untuk berdebat. 

Bagaimanapun apabila memasuki soal pengurusan dan menggerakkan jentera parti dan kerajaan, Khalid ternyata lebih cekap dan cekal daripadanya. Umumnya, inilah yang sering berlaku kepada Anwar.

Malangnya, ego sebagai seorang pemimpin besar sering menenggelamkan pertimbangan Anwar untuk benar-benar fokus kepada isu pengurusan yang memang amat memerlukan pertimbangan teliti dan terperinci. Ini kerana keberkesanan pengurusan akan melontarkan persepsi yang lebih meyakinkan kepada rakyat.

Anwar perlu lebih sabar, fokus dan berhati-hati apabila membuat keputusan pengurusan jika tidak secara tidak sengaja beliau akan meminggirkan pengurus-pengurus yang baik dan berkaliber di sisinya. 

Akhirnya Anwar cuma akan dikelilingi oleh pengampu-pengampu politik yang akan memotivasikannya untuk bersikap lebih rakus dalam politik atas nama ketegasan seorang pemimpin. 

Sumber : AntaraPos.Com

3 comments:

Anonymous said...

ada baiknya abang non tumpukan kepada pengurusan korek mengorek lubang kerana beliau ternyata cekap di bidang itu....harap maklum

Anonymous said...

Bang Non mmg bkn tau wat kerja ...dia cume pandai kompang jer...tang amek kredit atas kerja org dia mmg superb, menurun bakat pada anak puaka dia.

Dulu Tun M jerih memerah otak utk menyelamat n mmbangunkan negara,, tup2 bang non yg dakwa itu semua hasil idea dia.

Sbb tuh dgn mudah jer khalid mengigau bole kelentong bsng non wlpon dalam mood tidor,,...

Anonymous said...

Anwar Ibrahim ini Populist...cakap gebang bergema satu stadium tapi itu semua "smokescreen" untuk memukau mata rakyat...ini semua orang tau...yang menjadi isunya, setiap parti politik yang menerajui pentadbiran sesebuah kerajaan di peringkat negeri dan juga nasional telah mengalami kekurangan BAKAT BERKUALITI dari segi mengurus dan mentadbir...Ini isu pokok. Bukan nak kata apa, baik UMNO/BN, PKR, PAS, DAP sama sahaja, masih mengekalkan "Dinasti Anak Beranak dan Kroni-Kroni yang HAMPAS".....paku dulang paku serpih...mengata orang diri masing-masing yang lebih..SEDARLAH KOME OOOOOOIII!!! Karang aku carutkan satu-satu tok-tok politik yang bangang ni kang, habis heboh satu negara!!!