Saya berada di Stadium Shah Alam Sabtu lepas untuk sama-sama berhimpun bersama-sama sebahagian kecil umat Islam yang prihatin dengan permasalahan umat. Walaupun pada mulanya, saya berasa kecewa melihat jumlah kehadiran yang tidak memberangsangkan, tetapi akhirnya saya menyedari bahawa inilah yang membuktikan, kalau perhimpunan itu tidak ada nilai-nilai negatif dan agresif, ia kurang menarik minat sekalipun tujuan perhimpunan tersebut amat besar ertinya.Dari awal lagi saya sudah menjangkakan HIMPUN tidak akan berjaya menghimpunkan sejuta umat seperti slogannya. Saya juga sudah dapat menjangkakan, HIMPUN akan menjadi belasahan para pengikut dan pengikut PAS, terutama sekali Anwar Ibrahim.
Ianya menjadi kebenaran apabila PAS memilih untuk akur dengan DAP dan tidak mahu langsung menjejaskan hati nurani serta kekuasaan DAP dalam Pakatan Rakyat. PAS memilih untuk menghindarkan diri daripada HIMPUN kerana alasan HIMPUN bukan untuk parti-parti politik.
Walau apa pun alasan yang diberikan oleh PAS tentang HIMPUN, ianya sudah cukup untuk menjelaskan bahawa PAS yang baru berasa keasyikan dan kesyahduan bekerjasama dengan parti-parti yang tidak 'beragama Islam' dan bermesra dengan kaum bukan Islam, amat takut kehilangan sokongan daripada kelompok yang suatu ketika dahulu amat mereka benci.
HIMPUN bukannya bermotifkan politik. Apabila tidak bermotifkan politik, maka PAS juga tidak berminat sama sekali untuk menyertainya. Anehnya, mereka menuduh UMNO pula yang menjadi dalang di sebalik penganjuran HIMPUN.
Alasan dan tuduhan itu sebenarnya merupakan kaedah terbaik untuk PAS melarikan diri daripada tuduhan yang PAS tidak lebih daripada sebuah parti politik yang gila kuasa dan pada masa yang sama, sangat kuat menyamar sebagai kelompok Islam Ortodoks, walaupun sebenarnya sebahagian besar daripada mereka, tidaklah terlebih pandai daripada sekadar bercakap.
Hari ini, Anwar Ibrahim pula cuba mengaitkan isu HIMPUN dengan isu penyelewengan RM250 juta. Sekali imbas, fakta penyelewengan RM250 juta itu amat besar, malah jauh lebih besar berbanding isu HIMPUN. Saya percaya, PAS akan menggunakan hujah Anwar itu untuk menjaja ketotokan dan kebahlolan mereka dengan topeng-topeng agama seperti mana yang tersalut pada setiap batang tubuh pemimpinnya.
Motif utama HIMPUN ialah untuk menunjukkan solidariti dan keprihatinan umat Islam terhadap akidah mereka yang sedang terancam. Namun PAS dan Pakatan bijak memutarbelitkan dan mengalihkan isu dengan menjadikan HIMPUN sebagai alasan untuk UMNO tidak menjawab beberapa persoalan seperti yang dituduhkan oleh Anwar Ibrahim.
Dek kerana itulah, walaupun pada peringkat awalnya saya kecewa melihat jumlah yang hadir, tetapi apabila saya renung-renungkan balik, HIMPUN sebenarnya tidak gagal, bahkan telah mencapai kejayaan terbesar apabila berjaya membuktikan bahawa akidah bukanlah prioriti dalam politik negara ini sepertimana yang diperkatakan dan dijaja-jaja oleh PAS sebaliknya ia hanyalah salah satu modal untuk PAS terus bernafas dalam arus politik negara.









