Saturday, March 12, 2011

Allah Pelihara Masjid

MALAPETAKA paling tragis di alaf ini yang melanda Aceh Nanggroe Darus Salam pada tahun 2004, meninggalkan apa yang dinamakan kampung-kampung (dieja gampoeng dalam bahasa Aceh) tsunami dan termasuk juga masjid-masjid tsunami.

Kampung-kampung yang menjadi laluan tsunami itu hampir kesemuanya musnah sambil menelan korban yang tidak terhitung jumlahnya.

Di sebalik kemusnahan yang dahsyat akibat tsunami itu ada juga yang tegak dan kukuh berdiri terutama beberapa institusi masjid di Aceh.

Masyarakat menjadi pelik dan hairan apabila masjid-masjid berkenaan, kekal utuh walaupun beribu-ribu tan kubik air merempuh dan mengamuk dengan kelajuan hampir 300 kilometer sejam dengan ketinggian sehingga 30 meter terutama yang berhampiran dengan laut.

Masjid-masjid tsunami, seperti Masjid Raya Baitur Rahman di tengah-tengah Kutaraja (nama lama Banda Aceh) dan Masjid Raya Baitur Rahim di Pantai Ulee Lheuu, di Daerah Meuraxa, sempat penulis kunjungi.

Namun Masjid Rahmatullah di Lampuuk, di daerah Aceh Besar berdekatan dengan pusat peranginan pantai yang terkenal, Pantai Lhoknga adalah paling meninggalkan kesan di hati.

Ia satu-satunya masjid yang masih mengekalkan dan menyimpan kesan-kesan tsunami sebagai iktibar, ingatan dan pengajaran kepada seluruh umat manusia.

Sebaik melangkah masuk di penjuru kiri masjid tersebut jelas kelihatan bukti berlakunya rempuhan tsunami.

Rempuhan itu menyebabkan penduduk Lampuuk kini hanya tinggal 700 berbanding hampir 6,300 sebelum ditelan tsunami.
Kesan-kesan tsunami itu dikepung dan dipagar, sengaja ditinggalkan dan tidak akan dipulihkan sehingga bila-bila.

Tiang-tiang masjid yang diperbuat daripada konkrit ada yang patah, tumbang dan bergelimpangan di atas lantai. Jubin lantai masjid tercabut dan pecah akibat rempuhan tsunami itu.
Dipamerkan juga gambar-gambar suasana seperti padang jarak padang tekukur iaitu keadaan Lampuuk seusai tsunami. Semua ini menyebabkan hati jadi sebak!

Masjid Rahmatullah kini masih dalam proses pemulihan melalui pembiayaan besar dari pihak luar, terutama dari Turki.

Ini kerana Lampuuk dianggap sebagai 'anak angkat' kepada Turki berikutan dalam aspek sejarah telah ada penempatan bangsa Turki di daerah itu sejak dahulu.

Lampuuk tidak lagi berwajah duka. Perkampungan baru telah dibina yang menyajikan suasana cukup berbeza pada hari ini bagi menggantikan perkampungan yang disapu bersih oleh tsunami.

Kesempatan menziarahi Masjid Raya Baitur Rahim di Pantai Ulee Lheeu, juga membangkitkan keinsafan kepada setiap pengunjung.

Bagaikan satu keajaiban dan kuasa Allah, masjid ini tetap berdiri kukuh dan tidak musnah dihempas gelombang tsunami. Sedangkan kedudukannya hanya beberapa meter sahaja dari pantai.

Sedangkan perkampungan di sekitar masjid ini bersih disapu tsunami. Namun, Masjid Raya Baitur Rahim bukan sahaja utuh berdiri tetapi turut menjadi 'pelampung' penyelamat kepada mangsa ketika ombak tsunami ganas menerjah.

Ada yang berlindung di bahagian kubah masjid, akibat dilambung ombak ke bahagian itu.

Sehingga kini tiada siapa dapat menjawab bagaimana Masjid Raya Baitur Rahman di Banda Acheh, Masjid Lampuuk, Masjid Raya Baitur Rahim dan beberapa lagi masjid di lokasi-lokasi tsunami di Aceh mampu bertahan daripada pukulan ombak tsunami.

Adakah disebabkan struktur binaan bangunan semata-mata yang kukuh dan mantap atau mukjizat Allah?

Allah Maha Mengetahui. Namun ombak tsunami seolah-olah meninggalkan pesanan, 'pulanglah' ke masjid untuk kembali kepada Allah jika mahu selamat dalam hidup!

Artikel ini disiarkan oleh Utusan Malaysia (Mega) pada hari jumaat (11.Mac.2011) dan saya petik dari Utusan Online ke blog rbf bagi dikongsi bersama.

5 comments:

Anonymous said...

Apa kata kalau ada bangunan lain yang masih tegak berdiri selepas tsunami? Apakah akan dikatakan bangunan itu juga mendapat perlindungan Tuhan?

Bukankah lebih tepat diulas begini: Tuhan melindungi masjid dari ombak tsunami kerana struktur binaannya yang mantap dapat bertahan dari rempuhan ombak berkenaan.

LALUAN TENGAH

Anonymous said...

Struktur binaan yg kukuh itu cuma sebabnya shj. Kalau Allah melindungi, yang rapuh pun akan tetap tidak akan roboh.

Anonymous said...

lebih tepat ialah Allah melindungi masjid dari ombak tsunami bukan kerana struktur binaannya yang mantap dapat bertahan dari rempuhan ombak berkenaan, TETAPI kerana ITU KEHENDAKNYA. It's His will. Full Stop. Jangan disebabkan hendak mengambil laluan tengah sanggup mengenepikan the will of Allah. Logic is not everything.

Cikgu Di said...

Salam persaudaraan buat tuan..

Dalam kehidupan yang kita tempuhi didunia ini kadangkala kita akan menemui berbagai perkara yang lojik dan tidak lojik. Dalam erti kata lain sesuatu yang terjadi ada berbagai kemungkinan yang terselindung disebalik yang zahir. Maka bagi yang beriman yang tersirat itulah yang dapat mengukuh lagi keyakinan mereka kepada pencipta yang sejati.

Apabila sesuatu bencana yang menimpa maka barang siapa yang berulang alik ke masjid pasti akan terselamat.Sabdaan Nabi ini cukup halus dan dalam untuk dimengertikan.

Banyak kejadian yang berlaku umpamanya gempa Bumu Di Turki, kebocoran gas di Bhopal India, kejadian tsunami yang menyerang Acheh dan Phuket. Banyak terselit kesah-kesah bagaimana mereka yang berada didalam masjid terselamat

Ia bukan sebuah dogengan dizaman ini tapi satu kenyatan untuk kita sama-sama berfikir dan kembali memakmurkan masjid dengan amalan yang di tinggalkan oleh Nabi S.a.w. untuk keselamatan didunia dan diakhirat......walahualam

Anonymous said...

kehebatan akal manusia tidak dapat menjangkau kuasa maha hebat Allah. Logik dan tidak logik pada akal bukan kuasa manusia untuk menilai segala yang tersirat. Wallahualam.