Wednesday, March 16, 2011

Sepuluh Ribu Buku Jingga Dicetak Dengan Wang Rakyat

Selangor Daily melaporkan sebanyak 1o ribu naskah buku jingga dicetak dengan menggunakan wang kerajaan Selangor hanya semata-mata untuk menjual impian. Klik di sini

Dibawah ini e mel yang dikirimkan oleh seorang pembaca dan saya petik dari Minaq Jinggo.

Saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Buku Jingga di Stadium Malawati pada malam Sabtu lepas. Majlis tersebut diadakan sempena Karnival Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung pada 5 dan 6 Mac, 2011 di tempat yang sama.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang dijadualkan berucap di upacara tersebut ialah Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Khalid Ibrahim.

Majlis bermula pada lebih kurang 9.30 malam setelah pemimpin-pemimpin PR, ahli-ahli exco dan SUK negeri Selangor mengambil tempat masing-masing di atas pentas. Kehadiran amat mengecewakan. Hanya kira-kira 1,000 orang berada di stadium ketika majlis dimulakan. Jangkaan hadirin menjangkau 10,000 orang nyata jauh meleset. Alasan yang diberi oleh Hasan Ali, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, ialah ramai aktivis PR terlibat dengan pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau.

Daripada tinjauan rambang di kalangan para hadirin, majoriti adalah ahli-ahli PAS dari bahagian Sungai Burong yang dipimpin oleh Hasan Ali. Bakinya terdiri daripada kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri Selangor yang telah dikerah untuk hadir serta penghulu-penghulu mukim yang dilantik oleh PR. Nampaknya tak banyak beza antara PR dan BN dalam cara mereka meramaikan hadirin di sesuatu majlis. Juga terdapat ramai remaja belasan tahun yang ditugaskan untuk mengedar risalah-risalah dan cenderamata.

Tujuan saya menghadiri majlis tersebut ialah untuk mendapat penjelasan terperinci tentang Buku Jingga. Malangnya, hasrat saya tidak tercapai, harapan hampa berkecai. Majlis penerangan Buku Jingga bertukar menjadi majlis pemujaan kepimpinan Khalid Ibrahim. Kejayaan demi kejayaan kerajaan negeri Selangor diomong-omongkan tanpa menyentuh walau sedikit pun kelemahan dan kepincangan pentadbiran negeri. Ucapan-ucapan hanya bersifat “masuk bakul, angkat sendiri”.

Yang paling mencuit perhatian saya ialah penjelasan Khalid Ibrahim tentang isu kerajaan negeri Selangor membayar kos penginapan wakil-wakil PKR dari Sabah dan Sarawak semasa Kongres Kebangsaan PKR yang lepas. Menurut Khalid, pembayaran tersebut ialah sumbangan negeri Selangor kepada peningkatan proses demokrasi negara. Wakil-wakil tersebut kononnya telah didedahkan kepada proses pemilihan. Wow! Kata-kata yang sungguh indah, niat cukup murni. Tetapi hakikatnya menggunakan wang rakyat negeri Selangor untuk tujuan politik kepartian ialah satu bentuk rasuah. Tiada beza dengan budaya UMNO. Di mana perubahan yang dilaung-laungkan?

Majlis Pelancaran Buku Jingga tersebut gagal kerana tiada kerjasama ikhlas dari PAS dan DAP dalam mendokongi kempen Buku Jingga. Bilangan orang bukan Melayu yang hadir di majlis tersebut boleh dikira dengan jari. Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menarik diri pada saat-saat terakhir setelah dimaklumkan bahawa Presiden PAS, Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menolak jemputan ke majlis tersebut. PKR telah diwakili oleh Wan Azizah Ismail, Hasan Ali mewakili PAS dan Tan Seng Giaw mewakili DAP.

Satu petanda amat membimbangkan yang dapat dilihat dari majlis tersebut ialah kecenderungan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR dalam membazirkan wang rakyat. Majlis pelancaran itu diadakan semata-mata kerana ada peruntukan yang dapat digunakan dari bajet negeri Selangor. Oleh kerana jumlah hadirin yang rendah, banyak nasi bungkus yang dibekalkan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Segala kos penganjuran karnival tersebut ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor. Jika belanja jamuan menyambut ulangtahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah RM800,000.00, bayangkan berapa juta wang rakyat telah dibelanjakan untuk karnival yang berlangsung selama dua hari.

Pembaziran wang rakyat ialah satu manifestasi penyalahgunaan kuasa. PKR sering mengecam UMNO kerana menyalahguna kuasa. Daripada insiden pembaziran kos penganjuran karnival ini, PKR dilihat sebagai “kata dulang, paku serpih; kata orang, sendiri yang lebih”. Reformasi yang dijanjikan masih tinggal sebagai janji.

Jika objektif majlis tersebut untuk meraih sokongan rakyat kepada Buku Jingga, nyata majlis yang saya hadiri telah gagal sama sekali. Majlis-majlis sedemikian sepatutnya digunakan untuk menjelas dan mengupas “Janji-janji Reformasi Dalam 100 Hari” supaya rakyat dapat menghayati semangat reformasi yang terkandung dalam Buku Jingga. Setakat in, Buku Jingga hanya wujud sebagai sebuah mitos di awang-awangan kesedaran politik rakyat.

RAJA AZMI BIN RAJA AZMAN

1 comment:

Anonymous said...

yg dtg mana smpai 10 ribu bro, 500 org adalah...