Saturday, January 15, 2011

Tun Dr M Siasat Sendiri Tuduhan Seks Terhadap Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat kerana melakukan perbuatan-perbuatan tidak bermoral yang tidak layak dilakukan oleh pemimpin negara, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, selama ini Anwar sengaja menonjolkan imej warak dan berpegang kepada ajaran agama, misalnya dengan menjadi imam dan berkhutbah, tetapi salah laku seks sumbang yang dilakukannya bertentangan dengan imej tersebut.

Dr. Mahathir berkata, bukti-bukti mengenai perangai tidak bermoral Anwar terlalu kukuh dan ia merupakan punca bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat daripada kerajaan dan UMNO.

Dalam satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, Anwar dikaitkan dengan perbuatan meliwat seorang lelaki dan mempunyai hubungan seks dengan beberapa pelacur.

Di samping itu, Anwar juga dikatakan rapat dengan seorang pengarah syarikat, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai yang didakwa telah mempergunakannya untuk membocorkan maklumat-maklumat sulit negara.

Dr. Mahathir menegaskan: ''Saya menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat dengan saya atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah.

''Perbuatan yang dilakukan oleh Anwar tidak dapat diterima oleh saya, tidak dapat diterima oleh parti saya dan tidak dapat diterima oleh negara ini.''

Presiden UMNO itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberi penjelasan kepada para pemimpin UMNO di peringkat akar umbi mengenai pemecatan Anwar daripada kerajaan dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang ini.

Antara yang turut hadir pada majlis penerangan itu ialah isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Naib Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik.

Pada majlis itu, beliau menjelaskan bahawa tiada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar seperti yang didakwa. Perdana Menteri juga menerangkan bagaimana beliau membuat keputusan untuk memecat Anwar, orang yang diasuh untuk menggantikannya memimpin Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir, selain penyiasatan polis, beliau sendiri membuat siasatan mengenai tuduhan-tuduhan seks terhadap Anwar dan mendapati bukti-buktinya tidak dapat ditolak lagi.

''Apa yang saya tahu ialah Anwar tidak layak dan saya tak fikir ada sebab lain. Dia tidak lagi dilihat boleh diyakini untuk menjadi pemimpin negara.

''Saya amat yakin dengan semua bukti yang ada dan apa yang telah dibuat.''

Bagaimanapun, Dr. Mahathir enggan mendedahkan bukti-bukti yang beliau peroleh. Ditanya apakah alasannya untuk tidak mendedahkan bukti itu, beliau berkata: ''Sebab saya tidak mahu menyakiti orang lain kerana apa yang berlaku amat memalukan.''

Perdana Menteri secara peribadi bertanggungjawab membawa Anwar, bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), masuk UMNO pada tahun 1982 dan mendidiknya sehingga menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

''Saya sepatutnya memilih memecat musuh saya, bukan seorang kawan.''

Katanya, dalam kegawatan ekonomi sekarang dan menjelang temasya Sukan Komanwel XVI, beliau cuba mengelak krisis politik tetapi ''apa yang berlaku sudah di luar kawalan''.

Pada sidang akhbar itu, beliau beberapa kali berkata ''Anwar adalah kawan saya, tetapi tindakan memecatnya daripada kerajaan dan parti terpaksa dilakukan.''

Selepas dipecat, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan tuduhan-tuduhan ke atasnya yang dibangkitkan dalam afidavit di Mahkamah Tinggi minggu lalu.

Menurut Dr. Mahathir, perlakuan tidak bermoral membabitkan Anwar sebenarnya telah lama dilakukan. ''Sudah lama, tetapi saya baru tahu,'' katanya.

Ketika diberitahu oleh pemberita bahawa Anwar menafikan semua tuduhan itu, Perdana Menteri segera mencelah: ''Semua dia nafikan. Siapa yang mahu cerita kejahatan yang dia buat. Bill Clinton juga menafikannya.''

Perdana Menteri berkata, pada tahun lalu apabila terdapat tuduhan mengenai salah laku Anwar, beliau tidak mempercayainya.

''Saya kata ini fitnah untuk menjatuhkan Timbalan saya. Saya tolak sama sekali. Saya tak baca (surat mengenai tuduhan itu). Tetapi sekarang sudah terlangsung jelas.''

Ditanya adakah Anwar membuat pengakuan mengenai perlakuan sumbang seks yang dilakukan, beliau berkata, Anwar cuma mengaku dia juga seperti manusia biasa.

Ditanya adakah Anwar akan ditangkap, katanya, itu bukanlah urusannya. Beliau berkata, soal itu terserah kepada pihak berkuasa.

Mengenai majlis penjelasan kepada para pemimpin UMNO petang ini, Dr. Mahathir memberitahu, beliau nampak mereka menerima penjelasan tersebut.

''Saya harap dengan penjelasan ini orang ramai tidak akan keliru dan memahami apa yang berlaku,'' katanya.

Ditanya mengenai sesetengah pemimpin UMNO yang menyokong beliau tetapi dilihat berada di rumah Anwar selepas pemecatannya, Dr. Mahathir menjawab ringkas, beliau ''tidak boleh baca apa ada dalam hati orang.''

Menurut Perdana Menteri, Anwar telah diberi peluang untuk membela diri tidak seperti apa yang terjadi pada pemimpin dan ahli UMNO lain yang dikenakan tindakan ketika Anwar menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO.

''Mereka yang dikenakan tindakan disiplin itu tidak mendapat peluang seperti diberi kepada Anwar,'' kata beliau.

Sumber: Arkib Utusan Online

5 comments:

Anonymous said...

nasib baik tak jadi PM.. wajarlah Umi digelar Srikandi.. kes liwat ni bepanjangan sehingga bongkar salah gunakuasa anwar

Anonymous said...

bila nak settle kes dia ni??? tak ada orang ke yang boleh pastikan kes dia ni cepat selesai ?

Anonymous said...

hehehe...hoi jebat!! aku sendiri yang siasat kau sememangnya menderhaka kepada soltan melaka!!!kalau kau tak mengaku, kau akan dikenakan pertuduhan kerana mencuri Keris Taming Sari aku!!!!siap kau jebat!!!

peguam matrikulasi said...

Aku nak tanya sikit.
Jika kes ini dipohon supaya di pindahkan ke mahkamah Australia....boleh atau tidak?

kalau boleh....habislah.

Anonymous said...

bro,

please check kononnya dakwaan azwan ali bantai kakak dia dalam twitter..

gua da cuba carik twitter azwan ali.. takde post tu.. yg gua jumpe another twitter yg pakai nama azwan ali tp da delete..

please check this story bro..

as far as i know azwan ali balik dgn kakak dia..