Monday, October 25, 2010

Persidangan Hebat, Pembahas Tidak Berkualiti

Alhamdullilah, semuanya telah berakhir dengan selamat dan sempurna tanpa sebarang masalah, kekacauan atau episod baling membaling kerusi, berkejar-kejaran atau memukul wartawan.

Dari segi persiapan atau pengurusan majlis saya boleh katakan tahun ini adalah tahun yang terbaik. Sekalung tahniah kepada Ku Nan dan Datuk Rauf serta pasukannya.

Tindakan memindahkan peniaga ke tingkat atas ada pro dan kontranya. Dari satu sudut ianya menampakkan suasana tidak sibuk dan tidak meriah berbanding dengan tahun yang lepas-lepas.

Dari satu sudut pula ianya bagus kerana mengurangkan kesesakan di pintu masuk dan juga jalan raya di depannya serta memudahkan pergerakan sekiranya berlaku kecemasan. Pembeli dapat membeli belah dengan selesa di tingkat atas kerana ruangnya lebih besar tanpa perlu berasak-asak dan berpeluh-peluh.

Yang paling bagus dan boleh dipuji adalah solat jumaat. Pemimpin, perwakilan, pemerhati,petugas dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan PAU 2010 tidak perlu berkejar untuk ke masjid yang agak jauh dari PWTC.
Gambar dipetik dari Agenda Daily FotoPages.Com

Sungguh menyenangkan bagi perwakilan yang tiada kenderaan sendiri dan juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di KL yang mana kebiasaannya hari jumaat adalah hari yang paling teruk mengalami kesesakan.

Secara keseluruhannya pujian lima bintang wajar diberikan kepada Ku Nan dan Datuk Rauf serta kakitangan-kakitangan ibu pejabat. Kita tinggalkan bab itu, kita masuk pula bab ucapan pembahas-pembahas.

Walaupun penganjuran dan persiapan hebat, itu semua tidak bermakna jika pengisian tidak hebat. Apabila kita berhimpun dan kita bersidang perkara yang kita mahu adalah pengisiannya, bukannya kehebatan persiapan.

Kualiti pembahas-pembahas masih berada dalam keadaan yang teruk. Masih wujud lagi golongan-golongan yang suka membodek dan mengampu. Ada yang meleret-leret keluar tajuk dan ada yang membaca teks.

Pehimpunan Agung adalah medan untuk kita berbicara tentang matlamat perjuangan kita dan hala tuju kita, bukannya sekadar pelengkap untuk menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Sesiapa yang dipilih untuk mewakili negeri atau sayap harus guna kesempatan ini sebaik mungkin kerana anda mewakili negeri atau sayap berkenaan. Suara yang anda bawa adalah suara ahli di negeri atau sayap anda. Bukannya untuk menjadi medan bagi anda menonjolkan peribadi, membodek, mengipas dan seterusnya membolehkan orang berkata anda mempamerkan kebodohan anda.

Daripada tiga juta lebih ahli Umno, sesiapa yang dipilih untuk menjadi pembahas di PAU harus bersyukur kerana dia terpilih. Jadi gunakanlah peluang tersebut sebaik mungkin. Kalau rasa diri kita tidak boleh berbahas dengan baik, sila undur diri dan bagi peluang kepada orang lain.

Sepanjang PAU 2010 ini tidak keterlaluan jika saya katakan pujian wajar diberikan kepada wakil dari Kelantan iaitu YB Alwi Che Ahmad dan wakil Pemuda iaitu saudara Megat.
Ucapan YB Alwi boleh dikatakan secukup rasa, semuanya ada. Daripada hujah kepada fakta, pengajaran, cadangan, idea dan juga humor. Humor memainkan peranan penting dalam sesuatu ucapan atau perbahasan supaya dapat menghidupkan suasana dan juga supaya pendengar tidak mengantuk dan membuatkan pendengar minat untuk mendengar ucapan kita.

Saudara Megat pula sesuai dengan kedudukan beliau yang mewakili pemuda menyampaikan ucapan dengan semangat berkobar-kobar penuh dengan cadangan dan idea. Saya perhatikan ucapan Megat tidak menggunakan teks dan juga tiada elemen humor kerana sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pemuda.

Manakala ucapan yang paling teruk saya boleh katakan dari wakil Selangor iaitu YB Mohd Bushro . Dia bercakap pasal mimpi pula. Petikan ucapannya di bawah

Dalam mimpi ini saya menaiki kereta buatan nasional dan apabila tiba di satu persimpangan kenderaan saya dihalang oleh sekumpulan besar binatang, saya ingatkan kambing tetapi rupa-rupanya ia adalah babi yang tidak terkira banyaknya.

Perjalanan kemudian diteruskan lagi saya pandang kiri dan kanan banyak sekali rumah-rumah urut manakala apabila tiba di perkampungan Melayu saya mahu menghilangkan dahaga tetapi yang dijual bukan sahaja air mineral tetapi arak.

Apa ini yb ? tahukah yb yang yb sedang berucap di Perhimpunan Agung Umno, bukannya bercerita kepada anak-anak yb sebelum anak tidur.

Ya Allah ya tuhanku, hanya dengan kuasamu sahaja dapat membantu kami menawan balik Selangor jika beginilah kualiti pemimpin Umno di Selangor.

Manakala bagi pembahas-pembahas lain pula boleh dikategorikan antara 1-3 bintang sahaja. Ada juga yang memberi cadangan dan idea-idea tetapi oleh kerana gaya penyampaian mereka tidak kena maka ianya nampak tidak hebat.

Lain kali apabila anda dipilih sebagai pembahas, maka kenalah buat persiapan awal. Kata orang putih buat 'homework'. Cari isu, hujah , isi dan sebagainya. Kemudian bawa berbincang dengan kawan-kawan atau cerdik pandai.

Jumpa pula orang-orang yang berpengalaman dan bincang dengan mereka. Kemudian hafal ucapan dan berlatih di rumah. Kalau nak puas hati lagi, semasa latihan buat rakaman video dan selepas itu lihat dimana yang tidak kena dan perbetulkan lagi. Barulah nampak hebat di pentas yang disaksikan ribuan perwakilan di dewan dan jutaan orang di kaca tv. Jika merasa kan diri anda tidak boleh, sila undur diri dan bagi peluang kepada orang lain.

Nasib baiklah ada Pengerusi Tetap dan timbalannya yang pandai menceria dan menghidupkan suasana. Jika tidak PAU 2010 akan jadi lesu dan hanya ceria semasa pembukaan dan penutup.

Umno kena pandang serius perkara ini demi masa depan parti. Kesilapan dan kebodohan yang diucapkan oleh pembahas-pembahas akan membuatkan masyarakat menuding jari kepada Umno.

Seperkara yang lagi ialah tentang Dewan Merdeka yang menjadi gelanggang utama PAU sejak berpuluh tahun lepas telah kelihatan agak sempit sekarang. Ianya seolah-olah tidak dapat menampung lagi perwakilan dan pemerhati yang datang. Apatah lagi selepas ini bilangan perwakilan yang akan bertambah berkali-kali ganda apabila sistem pemilihan baru yang diperkenalkan Umno dilaksanakan.

Sayonara PAU 2010....


Gambar-gambar sekitar PAU 2010 boleh dilihat di Agenda Daily Fotopages.Com


1 comment:

Nasionalis1982 said...

Bro..

Ucapan perwakilan Negeri 9 iaitu Sdr Jalaluddin Alias pun ok jugak. Menusuk kalbu.